+++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Sudah seminggu Rayyan tidak ketemu Nani. Sejak peristiwa itu, Nani pergi
membawa diri. Biarlah Nani pergi, dia izinkan. Mereka perlu memberi sedikit
ruang untuk diri sendiri. Merenung dan berfikir kembali tentang perjalanan
cinta antara mereka, bagaimana mahu memperbaiki kesilapan dan kesalahanggapan
yang sentiasa hadir mengganggu. Biarlah masing-masing
bertenang terlebih dahulu.
Setiap hari,
setiap detik dia merindui Nani. Namun
dia pasrah, Tuhan tetapkan semua ini untuk menguji cinta antara mereka. Benar
dia rasa penat diuji, tapi Tuhan punya perancangan lebih hebat untuk mereka.
Itu sajalah yang menjadi penguat semangatnya meneruskan hari-hari yang amat
suram. Andai jodoh antara mereka masih utuh, pergilah ke pelusuk mana sekalipun
di dunia ini, jodoh pasti datang mengejar.
Pantai Morib yang tenang beralun tidak mampu mengubati keresahan jiwanya. Angin
petang yang lembut membelai tidak dapat mengurangkan rawan hatinya. Sesekali dia seperti ingin tunduk dan mengalah pada
takdir. Ada ketika, dia rasa seperti ingin meraung dan menangis semahunya.
Beratnya beban yang tergalas di bahunya. Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk
membuktikan betapa dia pencinta yang setia. Apakah menjadi satu jenayah jika
dia terlalu setia pada isterinya sehingga sehebat ini dugaan untuknya?
Laut, pasir dan burung-burung berkicau mengingatkan dia pada Nani. Ombak
yang lembut membadai, angin yang mesra menyapa mengingatkan dia pada keobsesan
Nani pada pantai. Jiwanya semakin terhimpit, rindunya tidak terbendung.
Bibirnya terketar-ketar menahan sebak yang meruntun jiwa. Rayyan
bernafas sukar.
I miss you so much.
Hatinya menangis.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Mana Nani sekarang? Ibu telefon pun dia tak nak angkat. Ibu susah hati,”
Rayyan kelu. Sejujurnya dia juga hilang punca ke mana Nani menghilang.
Benar dia yang izinkan Nani keluar rumah cuma dia tidak bertanya ke mana
isterinya itu akan pergi. Masakan hendak bertanya, memandang wajahnya juga Nani
tidak sudi.
“Ibu, Ian minta maaf,” Rayyan duduk melutut memegang kaki ibu mertuanya.
“Ian dah musnahkan kepercayaan Nani, Ian dah hancurkan harapan ibu,” Betapa
berdosanya dia membuat hati si tua terluka.
Puan Hanisah mengetap bibirnya. Sebaknya dia menyaksikan babak ini. Hendak menyalahkan
Rayyan seratus peratus, dia tidak tahu cerita sebenar. Hati ibu mana yang tidak dilanda risau, anak yang disayangi dilanda
musibah sebegini hebat.
“Ian, bumi mana
yang tak pernah ditimpa hujan? Langit mana yang tak pernah mendung, laut mana
yang tak bergelora. Begitulah fitrah alam, begitulah juga fitrah hidup
berumahtangga. Kalau hati dan minda tidak kuat menempuh hujan ribut alam
perkahwinan, inilah jadinya,” Bahu Rayyan dipegang lembut cuba membangunkan
Rayyan dari terus tunduk memegang kakinya.
“Ian akan
bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Ian mohon restu ibu."
Bergetar bibir
Puan Hanisah menahan tangis. “Kenapa
tak jelaskan pada Nani, Ian? Kenapa Ian biarkan dia keluar dari rumah?”
“Dah puas Ian cuba yakinkan dia, dia tetap anggap Ian berdusta. Apalagi
yang perlu Ian buat bu. Ian tak nak paksa dia percaya. Ian lebih menderita
tengok dia bergelumang air mata setiap hari. Biarlah dia pergi untuk seketika,” Rayyan melepaskan
keluhan yang amat berat.
“Mohonlah petunjuk dari Allah. Kita sama-sama berdoa ya, Ian. Kita perlu
yakin pada takdir. Allah itu Maha Luas PengetahuanNya. Apa yang Dia dah
tetapkan pasti akan berlaku biarpun seluruh dunia cuba menghalang. Ibu yakin,
Ian takkan khianati Nani. Ibu tahu Ian sayangkan dia,” Puan Hanisah menitipkan
kata-kata semangat buat Rayyan. Berat mata yang
memandang, berat lagi bahu Rayyan memikul beban.