Pages

Teaser Bab 63 Romantik Rapsodi

Wednesday, September 25, 2013

Assalamualaikum, sedikit teaser untuk menghilangkan kerinduan pada Rayyan dan Nani. :)


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sudah seminggu Rayyan tidak ketemu Nani. Sejak peristiwa itu, Nani pergi membawa diri. Biarlah Nani pergi, dia izinkan. Mereka perlu memberi sedikit ruang untuk diri sendiri. Merenung dan berfikir kembali tentang perjalanan cinta antara mereka, bagaimana mahu memperbaiki kesilapan dan kesalahanggapan yang sentiasa hadir mengganggu. Biarlah masing-masing bertenang terlebih dahulu.

Setiap hari, setiap detik dia merindui Nani. Namun dia pasrah, Tuhan tetapkan semua ini untuk menguji cinta antara mereka. Benar dia rasa penat diuji, tapi Tuhan punya perancangan lebih hebat untuk mereka. Itu sajalah yang menjadi penguat semangatnya meneruskan hari-hari yang amat suram. Andai jodoh antara mereka masih utuh, pergilah ke pelusuk mana sekalipun di dunia ini, jodoh pasti datang mengejar.

Pantai Morib yang tenang beralun tidak mampu mengubati keresahan jiwanya. Angin petang yang lembut membelai tidak dapat mengurangkan rawan hatinya. Sesekali dia seperti ingin tunduk dan mengalah pada takdir. Ada ketika, dia rasa seperti ingin meraung dan menangis semahunya. Beratnya beban yang tergalas di bahunya. Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk membuktikan betapa dia pencinta yang setia. Apakah menjadi satu jenayah jika dia terlalu setia pada isterinya sehingga sehebat ini dugaan untuknya?

Laut, pasir dan burung-burung berkicau mengingatkan dia pada Nani. Ombak yang lembut membadai, angin yang mesra menyapa mengingatkan dia pada keobsesan Nani pada pantai. Jiwanya semakin terhimpit, rindunya tidak terbendung. Bibirnya terketar-ketar menahan sebak yang meruntun jiwa. Rayyan bernafas sukar.

I miss you so much. Hatinya menangis.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Mana Nani sekarang? Ibu telefon pun dia tak nak angkat. Ibu susah hati,”

Rayyan kelu. Sejujurnya dia juga hilang punca ke mana Nani menghilang. Benar dia yang izinkan Nani keluar rumah cuma dia tidak bertanya ke mana isterinya itu akan pergi. Masakan hendak bertanya, memandang wajahnya juga Nani tidak sudi.

“Ibu, Ian minta maaf,” Rayyan duduk melutut memegang kaki ibu mertuanya. “Ian dah musnahkan kepercayaan Nani, Ian dah hancurkan harapan ibu,” Betapa berdosanya dia membuat hati si tua terluka.

Puan Hanisah mengetap bibirnya. Sebaknya dia menyaksikan babak ini. Hendak menyalahkan Rayyan seratus peratus, dia tidak tahu cerita sebenar. Hati ibu mana yang tidak dilanda risau, anak yang disayangi dilanda musibah sebegini hebat.

“Ian, bumi mana yang tak pernah ditimpa hujan? Langit mana yang tak pernah mendung, laut mana yang tak bergelora. Begitulah fitrah alam, begitulah juga fitrah hidup berumahtangga. Kalau hati dan minda tidak kuat menempuh hujan ribut alam perkahwinan, inilah jadinya,” Bahu Rayyan dipegang lembut cuba membangunkan Rayyan dari terus tunduk memegang kakinya.

“Ian akan bertanggungjawab atas semua yang berlaku. Ian mohon restu ibu." 

Bergetar bibir Puan Hanisah menahan tangis. “Kenapa tak jelaskan pada Nani, Ian? Kenapa Ian biarkan dia keluar dari rumah?”

“Dah puas Ian cuba yakinkan dia, dia tetap anggap Ian berdusta. Apalagi yang perlu Ian buat bu. Ian tak nak paksa dia percaya. Ian lebih menderita tengok dia bergelumang air mata setiap hari. Biarlah dia pergi untuk seketika,” Rayyan melepaskan keluhan yang amat berat.

“Mohonlah petunjuk dari Allah. Kita sama-sama berdoa ya, Ian. Kita perlu yakin pada takdir. Allah itu Maha Luas PengetahuanNya. Apa yang Dia dah tetapkan pasti akan berlaku biarpun seluruh dunia cuba menghalang. Ibu yakin, Ian takkan khianati Nani. Ibu tahu Ian sayangkan dia,” Puan Hanisah menitipkan kata-kata semangat buat Rayyan. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu Rayyan memikul beban.



Romantik Rapsodi ke Versi Cetak

Monday, September 23, 2013

Assalamualaikum....

Semalam dapat berita gembira. Manuskrip Romantik Rapsodi telah lulus penilaian oleh penerbit dan insyaAllah akan terbit dalam versi cetak.

Terima kasih pada teman-teman yang setia menanti dan tak putus memberi sokongan selama ni...

Alhamdulillah...All praises to Allah. Semoga Allah permudahkan segala urusan. :)